Salam hormat. Cerita jam diteruskan lagi walaupun mood G Shock masih menebal. Memandangkan cuaca yang kurang mengizinkan untuk sesi-sesi foto disebabkan oleh hujan yang tak menentu sekarang ni, kalau nak dihitung memang tak ada lah jam yang dapat aku reviewkan setakat hari ni sebab tak sempat nk bergambar. Mujurlah ada stok-stok gambar lama yang sempat dirakam awal tahun yang belum sempat dimuatkan dalam blog. Marilah berkenalan dengan Seiko SBBN007 aka Seiko Tuna
Setelah sekian lama aku tak review jam Seiko, kini cerita Seiko kembali. Rasanya ramai yang sudah maklum tentang jam Seiko ni. Jam Seiko SBBN007 dari keluarga Prospex ni memang dah lama jadi idaman aku. Tapi bila mengenangkan harganya yang terlalu jauh untuk dicekau terpaksalah aku melopong aja mulut setiap kali melihat/membaca artikel tentang jam ni di internet. Ingat lagi, masa tu merupakan hari jadi putri sulung aku pada penghujung tahun lepas. Kebetulan memang pada masa tu jam ni sedang hangat dibida dan bakal tamat awal subuh. Ikutkan mata memang aku tak tunggu sampai sudah bid tamat. Aku beranikan aja masuk bidaan dengan tawaran rendah... "biarlah, kalau tak dapat pun tak apa"... suka memang suka, tapi nak keluar duit banyak memanglah aku tak mampu...
Memandangkan masa bidaan tamat tu awal pagi, makanya lepas subuh sajalah aku berkesempatan untuk melihat perkembangan bidaan aku yang tak seberapa tu. Aku macam nak melompat bila membaca email yang aku berjaya... Mungkin dah menjadi rezeki aku agaknya. Begitulah sedikit sebanyak cerita yang panjang aku pendekkan bagaimana aku boleh dapat jam ni...
Baiklah, berbalik kepada cerita jam ni. Jam yang digerakkan dengan kuaca enjin quartz 7C46 Seiko ni cukup mantap pada perkiraan aku. Bersaiz 47mm pun tidak membuatkan jam kelihatan besar di tangan kerana jam ni mempunyai lug yang tersorok. So, bila pakai, jam akan kelihatan bulat tanpa kaki (lug). Memandangkan model ni merupakan model lama, ia juga masih mengekalkan skru jenis mata phillips. Untuk model yang baru skru jam sudah menggunakan mata hex.
Selain daripada indeks jam yang berbentuk bulat yang menarik pada mata aku, jam ini pada pandangan aku mempunyai kedudukan hari dan haribulan yang paling perfect dalam banyak-banyak koleksi jam Seiko yang aku ada. Senang kata, ditambah pulak dengan tulisan kanji, membuatkan aura kejepunan jam semakin dirasai.
Seperkara lagi yang menarik pada jam ni ialah tulisan Professional 300m pada dial jam. Ada sedikit perasaan macam seolah-olah pro divers aja bila memakainya. Tak banyak jam yang aku tahu yang ada pengiktirafan Professional Seiko pada dial jam, selalunya ada tulisan divers atau scuba. Walaupun perkara-perkara seumpama ini dianggap remeh oleh kebanyakan orang, tapi bagi penggemar jam, perkara detail yang kecil-kecil macam nilah yang selalu menjadi buruan dan igauan tidur...
Seperti yang telah disebutkan tadi, jam tidak kelihatan besar ditangan walaupun bersaiz 47mm. Setakat ni, juga setelah mencuba dengan pelbagai jenis tali, aku lebih suka jam ni dipakaikan dengan tali getah Seiko yang biasa sebab kepala jam agak berat dan perlukan jam supaya diikat melekat pada tangan. Jam ni juga paling sesuai pakai dengan renang tapi sesuai juga dipakai dengan seluar jeans. Ianya tak berapa sesuai dengan pakaian pejabat apatah lagi kalau dikenakan dengan baju batik sebab mengikut mata aku jam ni kelihatan agak lasak tak seperti divers skx bond yang mempunyai aura casual.
Percubaan untuk mengenakan jam dengan tali zulu pada aku macam susah nak dicakap. Mungkin kalau dikenakan dengan warna zulu yang betul jam akan betul-betul naik seri mukannya. Model baru tuna SBBN017/015 pun dah lama berada di pasaran, dengan sedikit perbezaan dengan enjin yang masih dikekalkan. Tak dapat tuna baru, dapat yang lama pun jadilah...alhamdulillah
SOLD - 18/11/12
SOLD - 18/11/12