Friday, January 17, 2014

G Shock GW-9400 Rangeman


 Salam hormat. Jamseh kali ini membawakan sebuah cerita jam G Shock Rangeman aka GW9400. Buah tangan terbaru G Shock ini bukanlah target utama yang hendak dicapai ini malah sebenarnya banyak lagi model G Shock lain yang sering bermain di fikiran tetapi tak tahulah kenapa model ini juga yang aku beli akhirnya. Mula-mula pandang model ni aku rasa penuh meluat terutama butang bulat kat bawah tu. Menyampah betul. Tapi sifat manusia yang mudah berubah tu memang sebahagian daripada hidup aku. Benda yang dibenci-benci akhirnya berubah menjadi rindu.
Bagi peminat G Shock. Ada yang gemarkan nilai limited edition dan ada juga yang gemarkan pada fungsi yang pelbagai. Antara fungsi yang menarik yang ada pada model ini adalah maklumat tentang waktu matahari naik dan jatuh. Untuk memperolehi data ini pengguna perlulah meletakkan longitude dan latitude masa setting jam. Untuk memudahkan aku melaraskan masa mengikut masa Singapore yang kebetulan berdekatan dengan tempat aku ni. Kalau nak letakkan longitude dan latitude secara manual pun mungkin boleh tapi aku kurang pasti.
 Penetapan masa mengikut signal radio juga mudah dicapai. Model yang sememangnya hanya ada versi multiband 6 ini boleh kita capai fungsi ini dengan menekan butang mode beberapa kali. Sekiranya signal radio telah diperolehi maka akan terdapat indikator pada bawah sebelah kiri bulatan di atas simbol PS
Model Rangeman ini juga merupakan usaha julung-julung kali G Shock memasukkan fungsi barometer, altimeter dan kompas serentak. Anda boleh tekan butang silver sebelah kanan tengah untuk fungsi barometer.
Untuk mencapai fungsi altimeter, tekan sekali butang tadi.
 Jika ditekan sekali lagi, fungsi jam akan berubah kepada kompas. Pengguna kena merujuk pada tingkap bulat kecil untuk kedudukan Utara.
 Pandangan daripada sudut bawah jam kelihatan menarik dan 3D. Apa yang membezakan model ini dengan model Jepun ialah model Jepun ada tertera tulisan carbon fiber bagi menunjukkan bahawa jam ini didatangkan khas dengan tali carbon fiber sama seperti model mudman gw9300 yang pakai tali carbon fiber kalau tak silap.
Dari sudut kiri pula rongga-rongga yang terdapat pada sensor amat penting bagi mendapatkan maklumat tepat tentang barometer, altimeter dan kompas.
Butang-butang pada jam ni asalnya aku ingatkan plastik tapi rupanya bukan plastik. Sifatnya lebih kepada logam. Ianya kelihatan sama seperti model-model premier G Shock terkini.

Dua sudut gambar yang menarik.
 Caseback belakang jam dengan gambar kucing sesuatu yang baru. Nampaknya G Shock belum ketandusan ide di sini. Mungkin juga sifat kucing yang suka merayau menurut fahaman mereka sangat bertepatan dengan konsep G Shock Rangeman.
Band loop atau retainer besi memang best pada pendapat aku berbanding loop resin biasa yang mudah reput tu. Sayangnya buckle jam pulak yang agak ketinggalan. Aku tahu sebab aku ada jam G Shock yang memiliki buckle yang lagi tough atau kelihatan lebih tough.
 Tentang tali pula, ada sedikit unsur G Shock Riseman di situ, cuma kali ni talinya tidak timbul sebaliknya rata saja. Walaupun sebelah dalamnya kelihatan agak lekak lekuk. Setakat ini belum ada laporan pengguna yang sakit-sakit sewaktu memakainya. Lubang-lubang memberikan udara untuk mudah keluar masuk dan mengelakkan tangan daripada cepat berpeluh. Cepat berpeluh = cepat busuk.
G Shock Rangeman ini juga didatangkan dengan sinaran lampu illuminator putih. Kira macam lampu HID kereta pun adalah sikit-sikit tapi yang ini tidak membawa mudarat dan menaikkan darah orang yang melihatnya. Anda boleh memilih sama ada 1 atau 3 saat bagi lampu itu menyala setiap kali ditekan butang lampu.

 Kesimpulannya, G Shock Riseman bukanlah jam mainan yang boleh dibuat permainan. Ianya adalah jam dengan attitude, lasak dan berani. Dengan 4 versi yang ditawarkan setakat artikel ini ditulis dijangkakan mampu menambat hati ramai peminat G Shock sedia ada malah peminat Pro Trek juga dipersilakan. G Shock Rangeman ada sedikit unsur-unsur model lagenda DW6900 pada mata aku terutama dari sudut bentuk muka depan. Dari segi saiz pula, jam ini sedikit besar daripada Mudman 9300. Hal ini tidak dapat dielakkan memandangkan pelbagai sensor yang hendak diletakkan di dalamnya. Dah memang sifatnya begitu, kalau tak besar, itu bukannya G Shock... itu ...

Sunday, November 3, 2013

G Shock DW-5030C-1JR 30th Anniversary Resist Black

 Salam hormat. Jamseh meneruskan perjuangan untuk terus menghidupkan blog jam ni dengan saki baki koleksi jam yang ada. Minta maaf bebanyak sebab bulan lepas langsung tak sempat nak buat posting. Apa yang disibuk kan sangat pun aku tak pasti. Kali ni aku akan berkongsi cerita tentang satu lagi jam G Shock yang masih lagi berada dalam koleksi. Jam yang aku maksudkan tu ialah G Shock DW-5030C-1JR yang telah aku perolehi sekitar bulan April yang lepas. Melihat pada gambar di atas dalam forum-forum terus membuatkan aku jatuh cinta. Walaupun hajat awal macam nak membeli GW5000 tapi akhirnya terpaksa ditukar ekoran harganya di luar kemampuan. Kalau dulu time 25th anniversary dia bagi nama black down... ini kali... resist black pula...
 Dengan bantuan seorang sahabat baik (you know who u are bro) dan juga dengan izin Allah SWT akhirnya aku berjaya menempah jam tersebut kira-kira seminggu dari tarikh jualannya. Jam ni kalau tak silap aku mula dijual sekitar 19 April lepas. Seller dari Jepun minta maaf banyak-banyak sebab terlambat hantar sehari dan kalau tak silap aku jam ni sampai kira-kira seminggu kemudian. Yang bestnya aku masih menyimpan kotak pos dan sebab itu juga aku boleh ingat tarikh. Kalau tak payah juga nak ingat tu.
 Beginilah kotak dan segala neka yang datang bersamanya bro. Dengan lambang 30th anniversary yang biasa kita lihat di kedai sebab aku tahu g shock ada menggunakan kotak yang sama untuk versi terhad lain. Cuma yang membezakan ialah kertas module dan hang tag yang disertakan. Oleh itu kalau ada kawan-kawan yang nak membeli dari penjual di luar sana yang mendakwa jam tersebut asal Jepun, pastikan kertas module dan hang tag yang betul unless seller kata tak simpan tu nak buat macam mana. Tapi sebagai peminat g shock benda-benda macam ni memang kita simpan sejak awal. Tak macam zaman jahiliah dulu...semua main buang...sekarang ni semua ada nilai...betul tak?
 Beginilah jamnya... model biasa saja... bila dilihat dari kejauhan.. tak ada magis apa-apa pun.
 Bila dilihat dari dekat, terdapat beberapa kelainan seperti antara muka yang bercorak batu bata dan perkataan PROJECT TEAM 'Tough'. Aku dah lama ngidam nakkan jam yang ada tulisan ni. Minat mula timbul masa keluar semula pada model 25th anniversary tapi sampai sekarang hanya mampu tengok kat skrin pc aja...sedih
 Buckle hitam disadur ion dengan band retainer besi. Tali jam juga nampak biasa macam model 5600 yang ada-ada.
 Yang menariknya model ni mempunyai display screen color yang unik. Agak sukar juga nak menggambarkan warnanya. Tapi aku suka. Ditambah dengan warna dial dan warna cetakan pada bezel memang cun dan sesuai. Dikatakan model ini juga dibuat mirip model asal dw5000 yang pernah dikeluarkan sekitar tahun 80an dulu. 
 Model 30th anniversary ni juga memiliki push button yang menarik. Warnanya seakan-akan warna copper.
 Band retainer dengan di cap dengan 3 bintang dengan tulisan 'since 1983' mengembalikan semula nostalgia lama awal-awal pembabitan Casio dalam dunia jam juga dibuat dalam warna copper yang unik dan menarik.
 Tak lengkap kalau tak ada gambar belakang jam. Model ini datang dengan screwback. Walaupun dalam keluarga DW dan seakan-akan model 5600 tapi module yang dipakai berlainan iaitu module 3421. Tertera juga cetakan lambang 30th anniversary lakaran Eric Haze dan yang paling bestnya model ni dibuat di Jepun, berbanding model-model dw6930 dan g5030 yang kalau tak silap aku dibuat di China. Fikirkanlah...
 Paling tak lengkap...kalau gambar-gambar jam dalam blog aku tak ada unsur-unsur daun dan latar belakang yang kelabu tu memang minat aku.
 Jam kelihatan sederhana saja di tangan pemakainya. Mungkin akan kelihatan lebih anggun dipakai pada tangan yang lebih macho dan tough.
 Terlanjur cuti panjang ni. Aku turut mengambil kesempatan untuk menukar bateri jam anak sulung aku G Shock DW5600LC yang kebetulannya dah habis bateri.
 Bateri yang diperlukan juga sama dengan bateri DW5600C yang pernah aku tukar sedikit masa lalu.
Secara keseluruhannya aku amat berpuas hati bila mengenangkan pembelian jam G Shock aku pada kali ini. Aku juga sukar nak menafikan yang memang ada terselihat kecenderungan untuk memilih model-model sebigini bila tiba masa aku nak memilih jam yang hendak dipakai. Aku juga merasa amat bertuah dan bersyukur kerana berpeluang memiliki model 30th anniversary. Tidakan Casio untuk menghasilkan versi terhad mirip model-model vintage memang dialu-alukan. Terutama kepada orang-orang seperti aku yang suka pada model-model lama berbanding yang baru. Macam mana nak cakap ek. Nak yang lama tapi baru...begitulah gamaknya bro. Walaupun untuk model 30th anniversary ni ada pelbagai versi warna seperti merah, biru, hitam dan kelabu... nampaknya model resist black ni memang hard tu resist. Kalau tak percaya cuba pegang, lihat dan cium...Insya Allah, anda pati sukakannya.

SOLD - 10/07/2014

Saturday, September 7, 2013

G Shock GW-9000A-1CS Mudman returns

 Salam hormat. Kali ni aku nak berkongsi review tentang sebuah lagi jam G Shock yang masih berada dalam koleksi aku. Dengan cover majalah G Shock Official Book yang aku letak kat atas, barangkali sudah ada rakan-rakan pembaca blog ini yang sudah pon dapat meneka model G Shock ni dari cover tersebut. Tapi kalau tak ada clue juga silalah ulang membaca tajuk di atas ye. Sekitar tahun 2008 gitu, kat sini dah bersepah peminat-peminat GS pakai mudman 9000 termasuklah aku yang pada masa tu pun memiliki sebiji mudman 25th anniversary. Tapi mudman kami tak ada solar dan atomic 5 peergh... mana boleh tahan. Meleleh aja masa tu bila tengok jam ni di internet dan tak tahu bagaimana nak mendapatkannya memandangkan jam ini tidak dibawa masuk ke Malaysia...
 Akhirnya hujung tahun lepas aku beranikan diri untuk beli dari seller US. Memandangkan aku pernah mengalami pengalaman yang tak berapa sedap dengan seller dari sana, maka terpaksalah aku bayar premium untuk urusan pos. Aku sanggup bayar caj UPS yang hampir-hampir sama dengan kos sebuah jam. Takpelah... demi keselamatan dan ketenteraman fikiran... aku gagahi jua. Alhamdulillah penghantaran tak mengecewakan dan aku terima bungkusan semasa aku berurusan di sebuah bank ketika itu. Macam babak dalam drama pun ada sikit-sikit. Dahlah depan bank terkenal dengan kesesakannya. Masa tulah lori UPS tu berhenti dan deliver bungkusan pada aku. Memang real macam dalam iklan.
 Berbalik semula kita kepada cerita asal. Jam tersebut datang dengan tin hexagon tapi bersaiz kecik sedikit. Sayangnya tak sempat aku tunjukkan cuma gambar perbezaan kotak aku tunjukkan di dalam gambar sebelumnya. Bungkusan memang simple yang mengandungi jam yang berbungkus dalam plastik, buku manual modul 3050, warranty card, kertas panduan penggunaan masa atomic dan tag.
 Pada aku tag jam ada sedikit kelainan daripada yang biasa kita perolehi bila membeli jam baru di sini. Puas juga sebenarnya aku cuba cari dari seller sebelah Timur ni kalau-kalau ada yang menjual dengan murah tapi hampa. Kebanyakkan yang berharga rendah datang dari US.
 Kalau mengikut hirarki pengeluaran jam. Jam mudman inilah yang pertama atau serentak dengan model versi 9000 tanpa soalr dan atomic keluar selepas model mudman 8400. Maka tak hairanlah model ini hanya dibekalkan dengan multiband 5. 5 gelang yang disusun berderet di atas dial jam akan gelap mengikut signal di mana pancaran radio diperolehi. Hari dan tarikh tidak dapat dimasukkan sekali pada dial jam dan hanya dapat dilihat sekiranya ditekan butang split tidak seperti model 9000 tanpa atomic.
 Sekali pandang susah nak kata model ni ada faktor 'wow' atau tak. Mungkin ada yang lebih gemarkan model 9000 biasa. Mungkin ada yang suka dengan susunan dial GS atomic yang lebih ringkas. Aku pulak sebenarnya memang dah lama nak cari versi mudman biasa. 
 Sayangnya versi hitam biasa yang ada di pasaran tempatan didatangkan dengan penekan butang bahagian adjust dan mode berwarna merah tidak memenuhi citarasa aku. Aku lebih sukakan model ini yang berwarna hitam keseluruhannya termasuk pusher.
 Bucke jam tetap Casio Japan
 Sisi belakang jam pula sama dengan dilapik dengan resin kelabu sama seperti model tempatan. Gambar Mr Mole yang selalunya naik kereta 4x4 pula ditukar dengan aksi perisik seolah-olah memegang alat pemancar di tangan kanan. Sementara tangan kiri Mr Mole memegang sejenis alat gerudi. Dan tak lupa juga spek mata yang mampu melindungi mata daripada cahaya matahari. Bagi pemiat-peminat GS tegar, perkara-perkara kecil sebeginilah yang sentisa membawa tarikan yang tiada kesudahannya.
 G Shock mudman model 9000 juga kelihatan sederhana di tangan. Tak terlalu besar ataupun terlalu kecil. Hujung talipun tak keterlaluan panjang seperti frogman.
Secara keseluruhannya, mudman gw900 bolehlah dikatakan antara model mudman yang tidak banyak diperkatan oleh para peminat G Shock. Design yang dibawa oleh model ini lebih menjurus kepada fungsi daripada aksi sama seperti kewujudan model-model mudman yang lain. Ni dah masuk kali ke-5 aku membeli mudman. Harga model-model mudman 9000 pula begitu mesra pengguna. Walaupun model ini telah lama di pasaran. Keselesaan dan saiznya pasti membuatkan anda tersenyum puas memilikinya.

SOLD 18/02/2014